Berkuat kuasa mulai 1 Januari 1992 Kemudahan pembiayaan komputer bagi pegawai Perkhidmatan Awam telah diperkenalkan.

Syarat-Syarat Pembiayaan

Kelayakkan

Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar (Smartphones) ni hanya layak kepada Pegawai Perkhidmatan Awam yang sedang berkhidmat, dilantik secara tetap dan telah disahkan dalam perkhidmatan.

Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar (Smartphones) boleh dibuat setiap tiga (3) tahun sekali dengan syarat pinjaman yang terdahulu telah diselesaikan.

Amaun Pembiayaan

Amaun pembiayaan maksimum bagi satu (1) permohonan adalah sebanyak Ringgit Malaysia Lima Ribu (RM5,000.00) sahaja (bagi salah satu atau kombinasi kedua-duanya). Amaun pembiayaan yang dibenarkan juga adalah tertakluk kepada pengiraan jumlah potongan bulanan bagi bayaran balik tidak melebihi 1/3 daripada gaji pokok dan semua potongan gajinya hendaklah tidak melebihi 60% daripada jumlah gaji pokok dan elaun-elaun.

Pembelian Komputer

Pembelian komputer yang dibenarkan adalah pembelian komputer baharu termasuk perisian dan perkakasannya. Komputer tersebut seperti berikut : a) komputer desktop b) komputer riba; dan c) komputer tablet. Perkakasan pula adalah seperti berikut : a) mesin pencetak; b) mesin pengimbas; dan c) peranti pelbagai fungsi (multifunction device). Pembelian komputer adalah dibenarkan lebih daripada satu unit asalkan bukan daripada jenis komputer yang sama dan pembelian perkakasan juga boleh lebih daripada satu asalkan bukan kategori perkakasan yang sama.

Pembelian Telefon Pintar (Smartphones)

Pembelian telefon pintar hanya dibenarkan satu (1) unit sahaja dan pembelian hanya untuk telefon jenis baharu termasuk perkakasan tambahan yang diperlukan.